"......Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Diantara ulama-ulama itu ialah Tok Khurasan, Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung."

TOK KENALI (1868 – 1933)

Ketika kami Sidang Pengarang memilih "Tok Kenali" sebagai penghormatan untuk menghiasi kulit keluaran pertama majalah Pengasuh 1975, maka pemilihan itu bukan saja kami landaskan atas asas ketokohan ulung beliau sebagai ulama besar di zamannya, malah kami landaskan juga atas fakta beliau selaku pendorong dan pengasas majalah Pengasuh yang diterbitkan bagi pertama kalinya pada tahun 1918. Majalah Pengasuh adalah sama tua dengan majalah "Seri Pustaka" Indonesia yang diterbitkan dalam tahun 1918 oleh Balai Pustaka dan di Malaysia majalah Pengasuh merupakan majalah tertua yang kedua sesudah majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahamad Al-Hady pada tahun 1906.

Walaupun Tok Kenali bukan seorang penulis yang konsisten seperti Syed Sheikh , namun beliau adalah seorang penulis yang mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas. Seandainya beliau tidak dihambatkan oleh tugas-tugas yang banyak dan terus menulis dengan tekun, beliau tidak syak lagi dapat dideretkan sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang merintis alam penulisan tanahair.

Tok Kenali sejak dari muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi berhadap tugas-tuga penulis dan peranan majalah-majalah adan suratkhabar-suratkhabar selaku mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam walaupun dapatlah kita teliti dari pernyataan-pernyataan belau yang tegas dalam tulisannya di bilangan pertama Pengasuh. Antara lain beliau menulis :

"Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok."

"Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama."

"Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah "Pengasuh" bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian yang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanahair dan menunjukkan kepada Raja."

Tok Kenali satu-satunya ulam kesayangan semua lapisan rakyat yang tiada ada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan legenda-legenda yang diperkatakan mereka di segenap pelosok negeri hingga ke zaman ini.

Beliau menjadi begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan ugamanya yang tinggi dan akal fikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana sifat-sifat kejujuran , rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya yang zahid, bersahaja dan darwis iaitu sifat-sifat yang menjadi pakaian hidupnya sejak sebagai seorang pelajar di kota suci Makkah hingga sebagai ulama terbilang di tanahairnya. Beliau melayani yang bodoh sama dengan beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama dengan beliau menghormati orang-orang dewasa. Beliau tidak pernah menghampakan pemberian dan jemputan dari siapa saja. Dan jika diberi, maka pemberian-pemberian itu akan dibahagikan pula kepada orang-orang sekelilingnya dan apabila dijemput maka beliau akan tampil menjadi tukang masak. Inilah sifat-sifat dan cara-cara hidup beliau yang membuat setiap orang yang berhubung dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan yang indah terhadapnya.

Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Diantara ulama-ulama itu ialah Tok Khurasan, Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung.

Tetapi Tok Kenali bukanlah sekadar menjadi lambang kemegahan tempatan Kelantan, malah kemasyhuran

Beliau menjangkau jauhdi luar perbatasan Malaysia. Beliau dapatlah didirikan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara lain yang berjasa di zamannya memberi sesuatu sumbangan yang berkesan kepada masyarakatnya.

Walaupun Tok Kenali tidak meninggal hasil-hasil karya yag besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar ialah kejayaannya melahirkan satu angkatan ulama yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan di negeri Kelantan dan Malaya, malah di Thailand, Kemboja dan Indonesia di separuh pertama abad dua puluh. Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu saraf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran Pondok di negeri ini. Keahlian beliau dalam bidang-bidang itu merupakan legenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu. Dalam kebanyakan waktu beliau mengajar tanpa kitab.

Tidak seeprti kebnyakan ulama yang lain di zamanya, Tok Kenali tidak hanya aktif di sekitar Surau atau Pondoknya saja, malah aktif dalam bidang kegiatan kemasyarakatan dan pentadbiran negeri, di mana beliau disahabati dan dirundingi oleh pembesar-pembesar negeri terutama rakan karibnya Dato’ Perdana Menteri Kelantan almarhum Haji Nik Mahmud Ismail (ayahanda Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Dato’ Nik Mustafa Fadhil). Hakikat ini dapatlah di perhatikan dari jawatan-jawatan yangdisandang semasa hidupnya iaitu selaku anggota Majlis Ugama Islam, anggota Jemaah Ulama Kelantan, Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh dan Ketua Pelajaran Ugama. Seluruhnya merupakan jawatan-jawatan penting yang memerlukan pandangan-pandangan yang tajam dan pergaulan yang luas.

Tok Kenali telah dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu keluarga kaum tani yang saleh. Nama tubuh beliau Muhamad Yusuf bin Ahmad dan nama timangan "Awang", satu nama sentimental yang amat disukai beliau. Majalah Pengasuh keluaran pertama memperkenalkan pengarangnya sebagai "Al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali" dan almarhum Al-Sultan Muhammad yang Keempat menyebut nama beliau dalam titah ucapan melantik beliau selaku anggota Majlis Ugama Islam dengan nama "Haji Awang Muhammad Yusuf Kenali".

Beliau dilahir dan dibesar remajakan dalam zaman permerintahan seorang Raja negeri Kelantan yang agung iaitu almarhum Al-Sultan Muhammad yang Kedua yang terkenal dengan gelaran "Sultan Mulut Merah". Beliau dilahirkan kira-kira setahun selepas dibina Masjid Besar Kota Bharu (masjid kayu) yang sesuku abad kemudian menjadi gelanggang keguruan dan kegiatan ilmiahnya yang menharumkan nama Kelantan ke seluruh Tenggara Asia.

Dari sejak kecil lagi beliau memperlihatkan tanda-tanda kecerdasan yang luar biasa dan kecenderungan kepada ilmu pengetrahuan yang tidak pernah puas. Menurut Abdullah A-Qari Haji Salleh, Tok Kenali telah melanjutkan pelajaranya di Kota Bharu dalam usia kira-kira sepuluh tahun dengan berguru pada para ulama yang terkenal di zaman itu, di antaranya ialah Encik Ismail (ayah kepada Dato’ Perdana Menteri almarhum Haji Nik Mahmud), Tuan Guru Asy-Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman yang terkenal dengan "Wan Ali Kutan", Tuan Guru Haji Taib Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor.