Allahyarham (Yusuf Zaki Yaacob) pernah memberitahu saya, dua orang gurunya yang sangat beliau kagumi, iaitu Allahyarham Tok Khurasan (ulama' dari Pakistan) dan Allahyarham Ustaz Abdul Rabb Tamimi (dari Indonesia) yang pernah menjadi Mudir di Jamek Merbau, kota Baharu.

Katanya, Tok Khurasan telah mengajarnya itu ilmu-ilmu yang tidak diajar oleh ulama'-ulama'tempatan pada waktu itu. Sementara Ustaz Abdul Rabb pula memberi banyak panduan kepada Allahyarham dalam mendalami bahasa Arab.

Oleh kerana Allahyarham telah banyak mempelajari kitab-kitab agama secara mendalam daripada ulama' tempatan dan Tok Khurasan, maka Allayarham tidak belajar di Universiti Al Azhar waktu berada di Mesir. Sebaliknya, Allahyarham belajar di Univerisiti Cairo - Catatan IBNU MUSLIM


Catatan IBNU MUSLIM HARAKAH : Ibnu Muslim (HARAKAH Internet Edition 29 Januari, 1999 / 7 Syawwal 1419H) 

Perginya seorang ulama yang produktif - Allahyarham Yusuf Zaki Yaacob 73 

UMAT Islam telah kehilangan seorang ulama' dan seorang pengarang Islam yang produktif bila Dato' Yusuf Zaki Yaacob 73 tahun telah kembali ke alam baqa' pada pagi (4.30) 19 Januari lepas. 

Allahyarham telah mengidap penyakit lemah jantung dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu. Tetapi keadaannya makin bertambah tenat sejak kebelakangan ini, hingga ke akhir hayatnya. 

Walaupun kesihatannya tidak begitu baik sejak tahun 60an lagi, tetapi Allahyarham tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang pendakwah dan pengarang buku-buku serta majalah-majalah yang berunsur Islam. 

Melalui Penerbitan Dian yang diasaskan pada awal tahun 60 an dulu, Allahyarham telah menghasilkan berpuluh-puluh buku dan majalah Islam yang dianggap bermutu dan popular dikalangan semua lapisan masyarakat. 

Majalah bulanan Dian yang diterbitkan sempena hari pertabalan Almarhum Sultan Yahya Petra pada awal tahun 60 an dulu, merupakan sebuah majalah yang paling popular di kalangan anak-anak muda dan orang dewasa. 

Nama Ustaz Yusuf Zaki sebagai seorang pengarang yang ulung dikenali melalui majalah Dian yang Allahyarham pimpin dan terbitkan. 

Nama Allahyarham lebih terkenal sebagai pengarang majalah Dian daripada pengarang buku-buku psikologi remaja yang diterbitkan oleh Pustaka Dian. 

Saya mulai mengenali nama Yusuf Zaki melalui Haji Nik Salleh Nik Mat dan Allahyarham Abdullah Yusuf di waktu belajar di AlMashhur Pulau Pinang pada akhir 40 an dulu. 

Melalui dua orang teman ini, saya dapat mengenali dari jauh mengenai beberapa keistimewaan dan kebolehannya dalam bidang penulisan, bahasa Arab dan agama. 

Saya mulai mengenali beliau dari dekat bila seorang sahabat meminta saya mengundangnya untuk memberi syarahan maulidur-Rasul di sebuah Sekolah Arab di Rantau Panjang pada pertengahan tahun 1957 yang lalu. 

Melalui pertemuan yang pertama itu, saya mulai merasa kagum dengan pengetahuannya dalam bidang agama, bahasa Arab, bahasa ibunda dan peka dengan pergolakan politik tanah air yang masih dijajah pada waktu itu. 

Dalam pertemuan berikutnya, saya dapati Allahyarham sangat minat dalam bidang penulisan, dakwah dan politik. 

Allahyarham sangat tertarik, kalau ada antara penulis yang bercerita mengenai perjuangan pengarang-pengarang yang terkenal seperti Pak Sako,Ahmad Boestaman Ibrahim Ya'acob, Pak Samad Ismail, Pak Hamka dan pengarang-pengarang yang termuka di Indonesia dan Malaysia. 

Sebagai seorang penerbit, Allahyarham juga memberi peluang kepada penulis-penulis muda untuk menulis dalam majalah -majalah keluaran Pustaka Dian termasuk Mingguan Kota Bahru dan majalah Peristiwa. 

Walaupun ramai jumlah intelek Islam dan ulama yang berkelulusan universiti, tetapi belum ada seorang daripada mereka yang dapat menandingi Allahyarham Ustaz Yusuf Zaki dalam bidang penulisan dan penerbitan. 

Allahyarham bukan sahaja seorang penulis dan pengarang, malah beliau seorang penerbit, pencetak dan pengedar buku-buku agama dan majalah-majalah yang bermutu. 

Selepas Angkatan Perpaduan Ummah mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan, beliau menghasilkan sebuah buku mengenai Hudud (terjemahan) yang dianggap paling laris pada waktu itu. 

Saya diberitahu oleh keluarganya, buku yang paling akhir di tulis oleh Allahyarham Ustaz Yusuf Zaki ialah mengenai/imam - Makmum yang sedang diulang cetak sekarang ini. 

Dalam pertemuan saya yang akhir, dengannya, Allahyarham membayangkan akan menumpukan perhatian dan tenaganya untuk menyiarkan terjemahan tafsir Fi Zilal Quran karangan Syed Qutb. 

Allahyarham memberitahu saya dan Cikgu Nik Mat Abdul Rahman bahawa terjemahan tafsir Fi Zilalil Quran merupakan satu peninggalan dan pusaka kepada umat Islam selepas beliau tidak ada lagi alam fana ini. 

Saya diberitahu oleh seorang anggota keluarganya, terjemahan tafsir itu sebanyak 30 juz telahpun disiapkan oleh Allahyarham. 

Sebagai seorang anak kepada seorang ulama', Tuan Guru Haji Yaacob, Allahyarham mendapat didikan agamanya daripada orang tuanya. 

Allahyarham juga turut menadah kitab kepada beberapa orang ulama' yang terkenal pada waktu itu termasuk Allahyarham Tuan Guru Haji Abas Bukit Tiu. 

Allahyarham pernah memberitahu saya, dua orang gurunya yang sangat beliau kagumi, iaitu Allahyarham Tok Khurasan (ulama' dari Pakistan) dan Allahyarham Ustaz Abdul Rabb Tamimi (dari Indonesia) yang pernah menjadi Mudir di Jamek Merbau, kota Baharu. 

Katanya, Tok Khurasan telah mengajarnya itu ilmu-ilmu yang tidak diajar oleh ulama'-ulama'tempatan pada waktu itu. Sementara Ustaz Abdul Rabb pula memberi banyak panduan kepada Allahyarham dalam mendalami bahasa Arab. 

Oleh kerana Allahyarham telah banyak mempelajari kitab-kitab agama secara mendalam daripada ulama' tempatan dan Tok Khurasan, maka Allayarham tidak belajar di Universiti Al Azhar waktu berada di Mesir. Sebaliknya, Allahyarham belajar di Univerisiti Cairo. 

Allahyarham seorang ulama' yang tidak mahu menonjolkan diri dan tidak berminat untuk menjadi seorang pemimpin (hubbu riasat) sebagai tokoh politik tertentu. 

Allahyarham pernah memberitahu saya, bahawa Presiden Umno pernah menawarkan jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno (yang dilantik) kepadanya, tetapi beliau menolak dengan alasan-alasan tertentu. 

Inilah yang dikatakan keistimewaan Allahyarham ustaz Yusuf Zaki, kerana beliau tidak bersedia menerima jawatan yang ditawarkan kepadanya. Sedangkan pada waktu itu, seorang pemimpin Umno terpaksa membelanjakan beratus-ratus ribu ringgit untuk dipilih sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno. 

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak lelaki dan seorang balu, Datin Azizah Yusuf. 

Saya mengucapkan takziah kepada balunya, Datin Azizah dan keluarga. 

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. 

Sumber:- 
HARAKAH : Ibnu Muslim 
(HARAKAH Internet Edition 29 Januari, 1999 / 11 Syawwal 1419H)